Apple v. Samsung, Apa Rakyat Malaysia Perlu Tahu?

 

Keputusan pihak juri di Amerika Syarikat telah menyebabkan pihak Samsung terpaksa membayar ganti rugi kerana melanggar hak paten yang dimiliki oleh pihak Apple. Antara hak paten yang dilanggar ialah rekabentuk bucu dan beberapa fungsi di dalam perisian iOS yang dimiliki Apple.

Ada yang bertanya kepada saya, apakah keputusan di Amerika ini memberi kesan kepada pengguna di Malaysia. Ini kerana ada pembuat telefon di Malaysia bimbang di saman Apple kerana menggunakan rekabentuk bucu melengkung seperti mana paten yang dimiliki oleh Apple.

Jawapan saya ialah, Malaysia tidak menerima kesan di atas penghakiman ini kerana sebab-sebab berikut:

  1. Penghakiman di Amerika hanya terpakai di Amerika sahaja, jika Apple inginkan kesan yang sama di Malaysia, Apple perlu menyaman Samsung di Malaysia.
  2. Undang-undang harta intelek seperti paten dan cap dagangan adalah bersifat kewilayahan. Setiap perlindungan harta intelek hanya akan dilindungi di negara di mana pendaftaran diperolehi. Jika sesuatu paten atau ciptaan hanya didaftar di Amerika, tidak di Malaysia, maka perlindungan paten tersebut hanya didapati di Amerika sahaja.
  3. Undang-undang harta intelek di Amerika mempunyai perbezaan dengan undang-undang harta intelek di Malaysia. Di Amerika, mereka mempunyai paten rekabentuk atau design paten, manakala di Malaysia, kita memanggilnya sebagai rekabentuk industri atau industrial design. Keperluan atau syarat-syarat pendaftaran design paten dan industrial design agak berbeza.

Kes yang sama juga telah di bawa ke beberapa negara lain seperti Korea dan Jepun dan kedua-dua negara ini memberi keputusan yang berbeza dengan keputusan yang dibuat di Amerika Syarikat, di mana keputusan tidak menyebelahi Apple sepenuhnya. Ramai yang berpendapat Apple boleh ‘menang’ di Amerika kerana ia adalah negara kelahirannya dan Amerika menggunakan sistem juri di mana juri yang membuat keputusan, berbeza dengan negara lain di mana hakim yang mahir dengan undang-undang paten memberikan keputusan.

Kesimpulannya, ekosistem harta intelek adalah berdasarkan negara. Jadi kepada pencipta dan pengeluar produk yang mempunyai paten atau cap dagangan, mereka perlu merancang mengenai harta intelek mereka jika ingin meluaskan pasaran ke luar negara. Jangan sampai sebelum produk tiba ke negara tersebut, sudah ada lambakan produk yang sama telah dijual terlebih dahulu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *