Cap Dagangan Bukan Tradisional (Non-Traditional Trade Mark)

By | October 27, 2010

Agak lama saya tidak menulis berkenaan harta intelek. Ini mungkin kerana fokus saya sebelum ini kepada bisnes takaful yang sedang saya jalankan ketika ini. Walaupun bidang baru saya ini (Takaful) agak menarik dan mampu memberi bantuan kepada peserta di saat-saat kecemasan, namun kerjaya di dalam bidang harta intelek masih perlu kerana kesedaran di dalam bidang ini terutama golongan Bumiputra masih ketinggalan.

Baru-baru ini saya sempat bersembang dengan seorang pegawai pemeriksa cap dagangan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO. Topik perbualan kami berkisar kepada perkembangan isu-isu harta intelek di Malaysia. Satu yang menarik perhatian saya semasa perbualan kami ialah MyIPO bakal menerima pendaftaran cap dagangan bukan tradisional sedikit masa lagi. Ini akan dilaksanakan selepas Akta Cap Dagangan dipinda bagi membenarkan pendaftaran cap dagangan bukan tradisional ini.

Cad dagangan secara umumnya merujuk kepada huruf, nombor, nama, tandatangan, logo dan kombinasi antaranya. Anda boleh rujuk artikel saya di sini untuk mengetahui lebih lanjut tentang cap dagangan. Cap dagangan ini bolehlah dikategorikan sebagai cap dagangan tradisional memandangkan ianya cap dagangan yang biasa didaftarkan di mana-mana di dunia ini.

Bagi cap dagangan bukan tradisional pula, ia melangkaui takrifan konvensional cap dagangan. Cap dagangan bukan tradisional boleh merujuk kepada bunyi, penampilan, bau, rasa dan sentuhan. Agak pelik bukan untuk mendaftarkan perkara-perkara tadi? Tapi itulah kenyataannya sebagaimana yang telah dilakukan di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom.

Cap dagangan berbentuk bunyi boleh didaftarkan dalam bentuk lagu, muzik, muzik pendek dan apa sahaja yang boleh mendatangkan bunyi. Sebagai contoh bunyi motor Harley Davidson telahpun didaftarkan sebagai cap dagangan di Amerika Syarikat. Bau pula merujuk kepada bau sesuatu bahan seperti minyak wangi, bau makanan dans sebagainya. Rasa mungkin akan melibatkan rasa makanan dan bahan-bahan yang boleh dirasa dengan deria manusia.

Saya tidak dapat nak mengulas lebih lanjut tentang kaedah perlaksanaan pendaftaran cap dagangan bukan tradisional ini kerana masih lagi di peringkat awal. Kita sama-sama tunggu selepas Akta Cap Dagangan dipinda, berkemungkinan penghujung tahun ini atau awal tahun depan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *