Ejen Cap Dagangan (Trade Mark Agent)

By | June 27, 2011

principle

Saya adalah ejen cap dagangan berdaftar dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia, agensi di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi & Kepenggunaan. Saya diberi amanah untuk mengendalikan proses permohonan bagi pihak pemohon dan lain-lain perkara yang melibatkan permohonan dan pendaftaran cap dagangan. Sebagai seorang ejen, saya juga akan memberikan khidmat nasihat berkaitan pendaftaran cap dagangan.

Ramai sebenarnya tidak menyedari kewujudan ejen cap dagangan ini. Malah saya sendiri, sebelum menceburi karier ini tidak tahu langsung berkenaan karier ini. Bagi usahawan pula yang telah mendaftarkan sendiri cap dagangan mereka, ejen cap dagangan hanya dicari apabila cap dagangan mereka menghadapi masalah seperti mendapat bantahan dari pendaftar atau bangkangan dari pihak ketiga.

Tugas seorang ejen cap dagangan bukanlah semata-mata mengendalikan permohonan dan pendaftaran cap dagangan bagi pihak pelanggan, ia lebih dari itu. Sebelum sesuatu cap dagangan dihantar untuk permohonan, ejen cap dagangan akan memberikan pandangan sama ada cap dagangan yang ingin didaftar oleh pelanggan menepati kriteria yang ditetapkan oleh Akta Cap Dagangan 1976. Jika tidak menepati kriteria yang ditetapkan, cadangan akan diberikan bagaimana untuk mengelakkan bantahan terhadap pendaftaran cap dagangan sama ada melakukan pindaan atau perubahan kepada cap dagangan yang ingin didaftar.

Ejen cap dagangan juga akan memberi nasihat berkenaan kelas barangan yang perlu didaftarkan bagi memastikan keseluruhan produk atau perkhidmatan yang ingin didaftarkan oleh pelanggan dilindungi oleh pendaftaran cap dagangan yang akan dipohon. Kelas barangan yang tepat amat penting bagi memastikan cap dagangan pelanggan benar-benar dilindungi jika berlaku sebarang konflik atau masalah pada masa akan datang.

Jika pemohon cap dagangan menggunakan khidmat ejen cap dagangan, kesilapan-kesilapan seperti salah kelas barangan dan cap dagangan tidak menepai kriteria  dapat dielakkan dan proses pendaftaran akan menjadi lebih cepat memandangkan jika berlaku sebarang bantahan, proses pendaftaran akan mengambil masa lebih lama berbanding permohonan yang tiada sebarang masalah.

Sepanjang pengalaman saya, ramai para usahawan yang telah memohon pendaftaran cap dagangan tidak memantau permohonan tersebut sehinggakan cap dagangan yang dipohon ditinggalkan begitu sahaja tanpa sebarang tindakan selepas permohonan dibuat. Ini kerana proses pendaftaran melibatkan banyak peringkat dan setiap peringkat memerlukan pemohon untuk memberi maklum balas terhadap surat-surat yang dihantar oleh pihak pendaftar seperti surat bantahan dan surat penerimaan. Jika surat-surat ini diabaikan, pihak pendaftar akan menganggap pemohon tidak berminat untuk meneruskan pendaftaran. Untuk makluman, setiap surat yang dikeluarkan oleh pihak pendaftar mempunyai tempoh tertentu untuk diberi maklum balas. Jika tiada sebarang maklum balas diterima, permohonan akan dianggap diabaikan.

Bagi mereka yang menggunakan perkhidmatan ejen cap dagangan, permohonan mereka akan dipantau dan setiap surat menyurat yang diterima dari pihak pendaftar akan dimaklumkan kepada pelanggan dan nasihat serta cadangan akan diberikan bagaimana untuk memberi maklum balas terhadap surat yang dikeluarkan.

Jadi, kesimpulannya, ejen cap dagangan membantu pemohon memudahkan proses permohonan dan pendaftaran dan memberikan nasihat dan penyelesaian terbaik jika cap dagangan menghadapi sebarang masalah. Permohonan juga akan dipantau untuk memastikan permohonan cap dagangan berjaya didaftar dengan jayanya.

One thought on “Ejen Cap Dagangan (Trade Mark Agent)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *