Bengkel Pengkomersilan Paten

Salam,

Sudah lama saya tidak mengemaskini blog ini atas sebab-sebab kekangan tugas dan waktu. Ditambah pula dengan keadaan sambungan internet yang tidak berapa baik di rumah, agak susah untuk saya akses ke laman ‘back end’ blog ini. Tapi alhamdulillah, selepas berpindah ke rumah baru, sambungan internet nampaknya semakin baik.

Untuk pos kali ini, saya ingin berkongsi pengalaman saya menghadiri bengkel pengkomersilan paten di Kampus Antarabangsa Universiti Teknologi Malaysia. Penceramah adalah Dr. Faiz F. Sherman, pegawai penyelidikan dari Procter & Gamble Amerika Syarikat. Procter & Gamble terkenal dengan jenama-jenama seperti Gillette, Hugo Boss, Oral-B dan Pampers.

Di bawah adalah gambar-gambar sekitar bengkel:

Image456

Image455

Image459

Antara yang menarik yang ingin saya kongsikan adalah mengenai inovasi dalam memasarkan hasil ciptaan. Beliau mengambil contoh ketika era awal penciptaan telefon, ramai yang menganggap penciptaan telefon pada ketika itu tidak akan mendapat sambutan. Syarikat telegraf terkemuka ketika itu, Western Union menempelak penciptaan telefon dengan mendakwa talian telefon ketika itu hanya terhad untuk sesuatu tempat, suara yang tidak jelas dan panggilan yang selalu terputus. Berbanding telefon, Western Union mengatakan telegraf adalah lebih praktikal digunakan sebagai alat perhubungan. Walaubagaimanapun telahan Western Union silap, telefon telah menjadi alat perhubungan utama ketika ini. Pada awal penciptaan telefon, mungkin kualiti ciptaan tersebut boleh dipertikaikan, tetapi hasil dari inovasi dan penambahbaikan ciptaan tersebut, maka ianya menjadi peralatan kominikasi utama ketika ini.

Contoh lain yang diberikan Dr. Faiz ialah penciptaan MP3.  Ketika Sony menerajui pasaran muzik mudah alih menerusi walkman dan diskman, Sony menganggap penciptaan format muzik MP3 tidak akan bertahan lama. Ini kerana pada awal kemunculan MP3, kualiti fail muzik MP3 ketika itu amat rendah berbanding kualiti muzik CD. Tetapi Apple bijak dan tidak mengambil ringan kemunculan MP3 ini dengan mengeluarkan pemain MP3 seperti I-Pod. tidak sampai beberapa tahun, MP3 menjadi fenomena peminat muzik seluruh dunia. Pemain CD tidak lagi popular kerana terhad dari segi jumlah lagu yang dimuatkan bebanding pemain MP3. Sekali lagi sebagaimana Western Union, Sony telah tersilap langkah dengan mengabaikan kemunculan MP3.

Itu antara yang menarik yang dapat saya kongsikan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *