Pendaftaran Paten Di Malaysia

By | February 2, 2017

Di atas adalah contoh sijil pemfailan paten (certificate of filing) untuk paten yang telah dibuat permohonan ke Perbadanan Harta Intelek Malaysia. Sijil ini adalah bukti bahawa sesuatu paten telah dibuat permohonan dan sedang menunggu kelulusan atau geran paten daripada pihak pendaftar.

Untuk mengetahui secara ringkas apakah itu paten, boleh ke pautan berikut:

Harta Intelek – Pengenalan Kepada Paten

PROSEDUR PENDAFTARAN PATEN DI MALAYSIA

Proses untuk pendaftaran paten agak rumit kerana memerlukan kemahiran teknikal dan prosedural yang tinggi. Justeru, bagi mengelakkan sesuatu permohonan paten ditolak atas sebab teknikal dan prosedur, adalah digalakkan menggunakan khidmat ejen atau perunding paten bagi menguruskan hal ehwal pendaftaran paten.

Pendaftaran paten terdapat beberapa peringkat sebelum ianya mendapat kelulusan dan sijil pendaftaran. Peringkat-peringkat tersebut adalah:

  1. Carian Paten
  2. Penderafan spesifikasi paten
  3. Membuat permohonan paten
  4. Membuat permohonan pemeriksaan substantif

CARIAN PATEN (PATENT SEARCH)

Carian paten merupakan satu proses untuk menyemak sama ada sesuatu ciptaan atau invention menepati syarat pendaftaran paten di Malaysia. Antara syarat kritikal untuk pendaftaran paten adalah ia mestilah baharu. Baharu di sini merujuk kepada ciptaan tersebut adalah satu-satunya berada di dunia. Antara syarat pendaftaran paten yang lain adalah:

  • Ciptaan tersebut mestilah baru dan tidak dizahirkan kepada awam di mana-mana di dunia ini;
  • Ciptaan tersebut mempunyai langkah merekacipta yang mana ciptaan tersebut tidak ketara kepada seseorang yang mempunyai pengetahuan dan pengalaman di dalam bidang teknologi ciptaan tersebut; dan
  • Ciptaan tersebut dapat digunakan di dalam industri.

Carian akan dibuat menerusi pangkalan data paten utama dunia seperti USPTO, European Patent, WIPO, KIPO, JPO dan tidak lupa MyIPO. Satu laporan carian paten (patent search report) akan dikeluarkan bagi menyampaikan keputusan hasil carian nanti.

PENDERAFAN SPESIFIKASI PATEN

Penderafan spesifikasi paten merupakan satu proses untuk menjelaskan secara terperinci mengenai sesuatu ciptaan yang ingin dibuat permohonan paten. Draf Spesifikasi paten ini adalah komponen yang terpenting bagi menjelaskan kepada pemeriksa paten berkenaan fungsi dan keadaan ciptaan yang ingin dipatenkan.

Terdapat beberapa bahagian di dalam format penderafan draf spesifikasi paten ini yang merangkumi:

  1. Tajuk (Title)
  2. Latar belakang ciptaan (Backgrounds of invention)
  3. Ciptaan duluan (Prior Art)
  4. Ringkasan ciptaan (summary of invention)
  5. Perincian ciptaan (Detailed descriptions)
  6. Lukisan (Drawings)
  7. Tuntutan (Claims)
  8. Abstrak (Abstract)

Agak panjang untuk menjelaskan ke semua komponen di atas kerana ianya agak teknikal. Dan kebiasaannya, proses penderafan ini akan diserahkan kepada ejen atau perunding paten kerana proses penderafan ini memerlukan kemahiran teknikal paten yang tinggi. Apabila memerlukan kemahiran yang tinggi, sudah tentu kos yang dikenakan tinggi dan kos penderafan ini adalah kos yang tertinggi di dalam kos keseluruhan pendaftaran paten.

MEMBUAT PERMOHONAN PATEN

Apabila draf spesifikasi telah siap, maka proses selanjutnya adalah untuk membuat pemfailan paten. Draf spesifikasi akan dilampirkan bersama dengan borang permohonan paten dan dihantar ke Perbadanan Harta Intelek Malaysia.

Pihak pendaftar akan menyemak ke semua dokumen yang dihantar dan apabila hasil semakan menunjukkan ke semua dokumen adalah lengkap, satu sijil pemfailan paten (sebagaimana gambar di atas) dan surat Clear Formality Report akan dikeluarkan.

MEMBUAT PERMOHONAN PEMERIKSAAN SUBSTANTIF

Apabila surat Clear Formality Report telah dikeluarkan, permohonan untuk dilakukan pemeriksaan substantif (substantive examination) perlu dibuat agar pemeriksa membuat pemeriksaan terhadap permohonan paten yang dibuat.

Permohonan pemeriksaan substantif ini perlu dibuat dalam tempoh 18 bulan dari tarikh permohonan. Sekiranya permohonan pemeriksaan ini tidak dibuat, permohonan paten ini tidak akan disemak dan diproses oleh pihak pendaftar.

Setelah permohonan dibuat, jika tiada sebarang masalah, kelulusan atau geran paten akan dikeluarkan sekitar 2 ke 3 tahun.

KESIMPULAN

Pendaftaran paten amat penting untuk memastikan ciptaan yang dibuat mendapat perlindungan undang-undang dan dapat dikomersilkan tanpa sebarang kerisauan ancaman didalam perdagangan. Untuk memastikan pendaftaran paten tersebut diluluskan, ia mestilah mematuhi segala syarat dan prosedur yang telah ditetapkan oleh undang-undang paten. Dapatkan nasihat daripada ejen atau perunding paten yang berpengalaman sebelum membuat apa-apa permohonan paten bagi mengelakkan permohonan ditolak.

Jika anda memerlukan sebarang khidmat nasihat dan perkhidmatan pendaftaran paten, boleh hubungi saya di talian 019-3781629.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *