Pengenalan Kepada Harta Intelek

By | September 8, 2009

intellectual-property

Salam dan selamat sejahtera. Untuk pos kali ini, saya akan menerangkan secara umum mengenai harta intelek.  Secara umumnya, harta intelek bolehlah didefinasikan sebagai satu bentuk monopoli yang diiktiraf undang-undang ke atas hasil kerja atau ciptaan yang dicetuskan menerusi pemikiran.

Harta intelek terbahagi kepada 6 cabang utama iaitu Cap Dagangan (Trademark), Reka Bentuk Perindustrian (Industrial Design), Paten, Hak Cipta (Copyright), Petunjuk Geografi (Geographical Indication) dan Reka Bentuk Litar Bersepadu (Integrated Circuit Design). Undang-undang berkaitan harta intelek di Malaysia ditadbir oleh 6 akta yang berasingan iaitu Akta Cap Dagangan 1976, Akta Reka Bentuk Perindustrian 1996, Akta Paten 1983, Akta Hak Cipta 1987, Akta Petunjuk Geografi 2000 dan Akta Reka Bentuk Litar Bersepadu 2000.

Badan yang bertanggungjawab menyelia pentadbiran harta intelek di Malaysia ialah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), sebuah agensi di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan. MyIPO bertangungjawab dalam menjalankan proses pendaftaran dan pengeluaran sijil bagi Cap Dagangan, Reka Bentuk Industri, Paten, Petunjuk Geografi dan Reka Bentuk Litar Bersepadu. Harta Intelek di bawah cabang Hak Cipta tidak memerlukan sebarang pendaftaran kerana perlindungan hasil karya di bawah Hak Cipta adalah diiktiraf secara automatik oleh undang-undang.

Untuk pos yang akan datang, saya akan menerangkan dengan lebih terperinci bagi setiap cabang harta intelek.

Wassalam..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *