Perjanjian Perlesenan Pengguna Akhir (End User License Agreement)

Anda sudah tentu biasa melihat tetingkap di atas semasa memasang perisian Mozilla Firefox. Tetingkap di atas meminta pengguna untuk menerima perjanjian perlesenan penggunaan perisian Mozilla Firefox. Tetapi pernahkah kita membaca terma-terma penggunaan atau perjanjian perlesenan sebelum kita meneruskan pemasangan sesuatu perisian?

Sebelum itu, apakah yang dimaksudkan dengan perjajanjian perlesenan ini?

Perjanjian perlesenan pengguna akhir atau di dalam bahasa Inggeris di sebut End User License Agreement atau singkatannya EULA adalah satu bentuk kontrak antara pemilik sesuatu perisian dengan pengguna untuk menggunakan perisian tersebut. Perjanjian ini biasanya menyatakan syarat-syarat penggunaan seperti tempoh masa perlesenan, hak-hak pengguna untuk menyalin dan mengedar perisian dan sebagainya. Perjanjian ini diwujudkan bagi menjaga kepentingan pemilik perisian tersebut dan juga mengawal penggunaan perisian supaya ianya digunakan selaras dengan syarat-syarat yang ditetapkan.

Gambar di atas adalah EULA Windows XP. Kepada yang selalu memformat komputer, mesti anda sudah biasa dengan skrin biru ini. Skrin biru ini memaparkan syarat-syarat penggunaan Windows XP. Jika kita lihat pada terma pertama ‘Grant of License’, pihak Microsoft hanya membenarkan pemasangan dan penggunaan perisian Windows XP ini kepada satu komputer sahaja dan tidak lebih dari satu pemproses dalam satu masa. Dalam makna kata lain jika anda memasang perisian Windows XP ini lebih dari satu komputer, anda telahpun melanggar syarat perjanjian perlesenan yang telah ditetapkan oleh pihak Microsoft; walaupun perisian yang anda gunakan itu adalah perisian yang asli.

Jadi, walaupun kita telahpun membeli perisian yang asli, itu tidak bermakna anda boleh menggunakan perisian tersebut sesuka hati kerana ianya terikat dengan perjanjian perlesenan.

Apakah pula yang dimaksudkan dengan pengguna akhir atau end user?

Pengguna akhir bermaksud individu yang menggunakan sesuatu produk. Pembeli masih tidak boleh dipanggil sebagai pengguna akhir kerana dia belum tentu menggunakan produk yang dibelinya. Sebagai contoh, Ali telah membeli perisian Adobe Photoshop dengan harga RM2000.00 di Plaza Low Yat. Sesampai di rumah, dia menghadiahkan perisian Adobe Photoshop tadi kepada adiknya sempena hari lahir. Gembira dengan hadiah tersebut, adik si Ali tadi telah memasang perisian tadi di komputernya dan telah menerima perjanjian perlesenan yang ditetapkan pihak syarikat pengeluar Adobe Photoshop. Jadi di sini, adik Ali adalah pengguna akhir bagi produk perisian tadi kerana adik Ali yang menggunakan produk tersebut dan bukan Ali.

Ada banyak lagi aspek EULA yang perlu diketahui dan saya akan perjelaskan di dalam artikel saya yang akan datang.

2 thoughts on “Perjanjian Perlesenan Pengguna Akhir (End User License Agreement)”

    1. ya, tetapi bergantung jgk kpd jumlah lesen yg dibeli. Kalau software tu ada 3 lesen, jadi boleh guna utk 3 komputer.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *