PETIKAN BERITA – Harapan dan impian PM terhadap bidang animasi

By | February 24, 2010

wallpaperui02

USOP Sontorian, Kampung Boy, Upin & Ipin, Anak Anak Sidek dan Geng: Pengembaraan Bermula adalah antara siri animasi TV atau filem yang diterbitkan hasil daripada kegigihan, semangat tinggi dan kesungguhan karyawan yang menyintai animasi. Mereka bergerak secara sendirian. Kalaupun ada bantuan, jumlahnya amat minimum.

Sesetengah siri animasi itu sudah tiada kerana stesen TV menamatkan penerbitannya. Stesen TV tidak memberi peluang langsung kepada syarikat penerbitannya untuk terus mengembangkan, memajukan dan seterusnya mengangkat hasil animasi mereka sebagai produk nasional yang boleh dipasarkan ke luar negara. Ada animasi yang diulang siar banyak kali.

Masyarakat kita sehingga hari ini melihat animasi hanya sekadar cerita kartun semata-mata. Cerita yang sesuai untuk kanak-kanak. Tapi di sebalik cerita kartun untuk kanak-kanak, belum ada kesedaran dikalangan masyarakat kita pada hari ini bahawa ia sebenarnya boleh menjadi penyumbang besar kepada sosial dan ekonomi.

Dari sudut sosial, penerbitan siri animasi ini memberi peluang pekerjaan kepada graduan atau pelajar yang mengambil jurusan animasi dan kesan khas (special effect). Hari ini terdapat berpuluh kolej dan institusi pengajian tinggi menawarkan bidang animasi tetapi apabila menamatkan pengajian, tempat untuk mereka mencurahkan kemahiran, kreativiti dan inovatif sangat terhad.

Animasi ini juga boleh menjana pendapatan dan pekerjaan kepada anak muda kita. Tambahan pula animasi yang dianggap sebagai kartun saja, sebenarnya mempunyai nilai jutaan, malahan berbilion ringgit. Kenapa kita tidak merebut peluang ini?

Walaupun kita sedar industri animasi ini bernilai berbilion ringgit tetapi kita mahu merebutnya dengan cara jalan pintas. Kita mahu melabur secara minimum tetapi mahu merebut keuntungan secara sekelip mata. Apabila keuntungan sekelip mata itu tidak memenuhi sasaran, maka pelbagai pihak, termasuk stesen TV melihatnya sebagai industri yang tidak menguntungkan kerana kos penerbitannya amat tinggi.

Kita sebenarnya bermula dalam industri animasi dengan langkah yang terlalu besar. Kita mahu melihat kejayaan industri animasi dengan serta merta. Dan, kita juga bercita-cita terlalu tinggi sehingga sanggup mengorbankan kos yang amat besar demi melihat industri animasi tempatan mendapat tempatan di pentas antarabangsa.

Benar, kita perlu bergerak pantas untuk bersaing dengan perkembangan teknologi animasi luar negara. Tapi pada masa, kita harus menyesuaikan diri kepada kemampuan dan kesediaan tenaga kreatif tempatan. Kita boleh menggunakan tenaga kreatif luar tetapi dengan pelbagai tujuan iaitu selain daripada membantu menghasilkan produk berkualiti, mereka juga boleh berkongsi kepakaran dengan tenaga kerja kreatif tempatan. Bagaimana hendak memulakannya?

Stesen TV, tidak kira milik kerajaan atau yang dikendalikan oleh swasta diberikan dana secukupnya. Selepas itu, semua stesen TV mengenal pasti syarikat penerbitan animasi yang mempunyai tenaga kreatif tetapi kekurangan modal untuk berkembang. Pilihlah sekitar 10 atau 15 syarikat yang khusus dalam bidang animasi dan mereka diberikan kontrak untuk menyiapkan dan menerbitkan pelbagai program animasi bagi tempoh jangka panjang atau sederhana iaitu antara tiga hingga lima tahun atau lebih.

Kita percaya dalam tempoh itu, syarikat penerbitan animasi ini akan mampu melahirkan tenaga kerja kreatif berpengalaman dan pada masa melabur semula dengan membeli peralatan dan perkakasan animasi yang berteknologi tinggi bersesuaian dengan keperluan semasa. Jadi, tidak semuanya peralatan perlu disediakan oleh kerajaan.

Apabila sudah ada ramai tenaga kerja kreatif serta peralatan produksi berteknologi tinggi, secara tidak langsung akan membantu mengurangkan kos tenaga buruh (kakitangan kreatif) kerana pasarannya yang besar. pengeluaran atau penerbitan program animasi.

Kita sedia maklum, untuk menghasilkan animasi bukanlah murah sekiranya ia diterbitkan dalam jangka pendek. Ini kerana syarikat penerbitan perlu membeli pelbagai perkakasan berkaitan dengan penerbitan animasi yang berharga mahal. Sudah tentu tidak ada syarikat bersedia untuk membuat pelaburan besar-besaran bernilai jutaan ringgit sekiranya mereka diberikan kontrak pembekalan program animasi kepada stesen TV secara jangka pendek sahaja.

Sudah tentu kita berasakan stesen TV bertindak kejam kalau mereka tiba-tiba menghentikan atau tidak melanjutkan kontrak perbekalan kepada syarikat animasi yang sudah melabur berjuta ringgit ini. Pada hal, stesen TV sepatutnya memberi peluang kepada syarikat terbabit untuk terus menghasilkan animasi supaya pelaburan yang mereka lakukan benar-benar berbaloi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Portal 1Malaysia pada 6 Oktober 2009, turut menulis mengenai minatnya terhadap industri animasi tanah air.

“Saya memang sedar bahawa terdapat begitu ramai tenaga muda Malaysia di luar sana yang sangat kreatif. Saya tahu ramai daripada remaja kita memiliki imaginasi penuh warna-warni dan mereka berbakat untuk memindahkan imaginasi tersebut kepada perwatakan animasi yang ceria berserta jalan cerita yang begitu menarik.

“Jika kita memfokuskan kepada industri ini dan memupuknya dengan baik, banyak peluang akan terbuka kepada tenaga muda Malaysia yang sedemikian, samada dari kota raya mahu pun dari kawasan perbandaran untuk memanfaatkan kebolehan artistik mereka sebaiknya dan menjana pendapatan yang lebih baik untuk diri mereka. Serentak dengan itu, sumbangan mereka tersebut akan melonjakkan Malaysia ke tahap yang lebih tinggi di dalam industri kandungan digital. Mana tahu, mungkin satu hari nanti kita akan muncul sebagai pusat kandungan animasi untuk rantau ini,” katanya.

Isunya, pihak manakah dan siapa yang dapat merealisasikan impian dan harapan Perdana Menteri kita? – zainuri@bharian.com.my

Sumber:  BERITA HARIAN




4 thoughts on “PETIKAN BERITA – Harapan dan impian PM terhadap bidang animasi

  1. RozaniGhani

    Animasi ada 2 jenis iaitu 2D dan 3D. 3D lebih sukar dan lebih memerlukan kos. Mentaliti orang malaysia, jika ada kartun, animasi, power rangers, ultraman dan masked, biasanya orang malaysia fikir itu untuk kanak-kanak sahaja. Tidak seperti di Jepun. Orang Jepun tidak kira muda atau tua bangka, masih menonton cerita seperti ini, malah ada juga golongan emas masih sempat berkarya untuk memperjuangkan arena ini.
    .-= RozaniGhani´s last blog ..BugMeNot Kaedah Bypass Password =-.

    Reply
  2. Azizi Zulkefli

    Betul, kartun patutnya utk semua. Rasanya org malaysia pun dah mula tgk kartun tak kira usia. lagi2 selepas kemunculan kartun upin-ipin. dari atok, nenek, mak bapak tgk kartun ni

    Reply
  3. fadhli hamdan

    animasi seperti upin dan ipin perlu dipertambahkan kerana kualiti, mesej, dan jalan ceritanya sangat menarik untuk setiap golongan.

    tak kira lah muda ke tua, kalau dah suka tengok kartun apa salahnya selagi tak lupakan dunia la..hehe.
    -fadhli hamdan
    .-= fadhli hamdan´s last blog ..Aku Ingat Lagi: Siapa yang Bisu? =-.

    Reply
  4. Razilan

    Animasi di Malaysia sepatutnya diberi peluang. Kebanyakan rakyat kita memiliki mentaliti apabila disebut sahaja ‘kartun’, ia pasti merujuk kepada hiburan kanak-kanak. Memang benar ia sesuai diterima oleh kanak-kanak kerana kesan visual yang ceria, bunyi, dan penyampaian jalan cerita yang kreatif dapat menarik tumpuan mereka. Cuma mungkin nilai yang ingin disampaikan kadang kala memerlukan bimbingan orang dewasa.

    Cerita atau kisah yang berbentuk visual boleh disampaikan dalam pelbagai cara seperti lakonan, persembahan dan juga animasi. Apa yang dilihat janggal oleh kebanyakan rakyat Malaysia ialah penceritaan dalam bentuk animasi. Ini perlu diperbetulkan sama sekali. Penceritaan yang kompleks boleh dilaksanakan melalui animasi, ia mungkin rumit dan memakan masa namun jika dilaksanakan secara kreatif. Ia mampu memberi impak yang lama. Tambahan pula, animasi mampu memberi kesan visual yang difikirkan mustahil bagi penyampaian yang berkesan dan menarik…
    .-= Razilan´s last blog ..Hiatus Mode =-.

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *