PETIKAN BERITA: Malaysia paling pantas lulus daftar harta intelek

By | January 11, 2011

KUALA LUMPUR: Malaysia akan menjadi negara terpantas di dunia meluluskan tempoh pendaftaran pemilikan harta intelek berbanding Australia, Jepun dan Korea, bermula 1 Februari ini.

Penambahbaikan itu merangkumi tempoh pendaftaran paten daripada 39 kepada 26 bulan untuk permohonan biasa tetapi boleh disingkatkan kepada 20 bulan jika pemohon mahu dipercepatkan. Pendaftaran cap dagangan pula disingkatkan daripada 18 kepada 12 bulan untuk permohonan biasa dan jika pemohon mahu dipercepatkan tempoh itu hanya sekadar enam bulan, tiga minggu saja. Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dengan memendekkan tempoh pendaftaran itu, Malaysia menjadi negara paling pantas meluluskan pemilikan harta intelek buat masa sekarang. “Bagi Australia, Jepun dan Korea tempoh kelulusan permohonan paten ialah 36 bulan, manakala bagi cap dagangan pula tujuh bulan. Sehubungan itu, Malaysia menjadi negara paling cepat. “Singapura mungkin lebih cepat, tetapi ia berbeza kerana mereka memberi kelulusan secara bersyarat, kaedah ini risikonya ialah jika terdapat sebarang bantahan pihak tertentu yang mendakwa sesuatu produk itu milik mereka dengan mengemukakan bukti, kelulusan itu boleh ditarik balik tanpa membawanya ke mahkamah,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan lawatan ke Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), di sini, semalam. Bagaimanapun, katanya, beliau belum berpuas hati dengan tahap kesedaran pencipta terutama pengeluar produk dari sektor industri kecil dan sederhana (IKS) yang masih belum menitikberatkan soal pemilikan harta intelek sehingga mendedahkan mereka kepada masalah ciplak. “Antara puncanya mereka tidak tahu dan ada juga yang memikirkan bahawa jika sekadar mendaftar jenama saja sudah mencukupi, sedangkan mereka perlu memohon bagi mendapatkan pemilikan harta intelek itu.
“Sehubungan itu, kami akan memperhebatkan kempen kesedaran selain membuka cawangan MyIPO di beberapa lokasi lain bagi memudahkan pengeluar produk melindungi hak cipta mereka,” katanya.

Ismail Sabri berkata, kementerian juga bercadang meminda Akta Hak Cipta bagi melindungi mereka yang terbabit dalam industri hiburan.
“Selain mendapatkan hak cipta umpamanya animasi, lagu, drama atau filem, kita juga perlu mendaftarkannya sebagai bukti jika ada pihak yang mendakwa sesuatu hasil seni itu milik mereka,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Category: Uncategorized

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *