PETIKAN BERITA: Menteri akui sukar banteras muat turun haram

Undang-undang perlu dipinda bagi membolehkan kerajaan mengawal kegiatan cetak rompak dan muat turun secara haram, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Ismail Sabri.

Katanya, peruntukan sedia anda menghalang penguatkuasaan ke atas kegiatan tersebut yang semakin berkembang dengan kepesatan teknologi baru.

Beliau juga meredakan kebimbangan orang ramai terhadap pindaan Akta Hakcipta, yang dikhuatiri akan memberi ruang kepada penguatkuasa bagi menceroboh kediaman mereka dan mencari bahan-bahan terlarang berkenaan.

Mengulas kebimbangan itu, Ismail berkata, perkara itu tidak akan berlaku. Malah, bentuk hukuman yang dicadangkan bagi kesalahan memiliki bahan berkenaan hanyalah denda.

Bercakap dalam satu wawancara eksklusif dengan Malaysiakini minggu lalu, Ismail berkata pindaan berkenaan akan dibawa ke Parlimen dalam sesi akan datang.

“Salah satu seksyen yang dicadangkan dalam akta tersebut, sesiapa yang memiliki apa-apa DVD atau VCD cetak rompak, ia dianggap satu kesalahan.

“Tapi penalti itu, ramai orang kata, kalau macam itu anda akan mengisytiharkan orang yang ada DVD haram sebagai penjenayah. Maknanya kena jel ke?

Tidak akan geledah

“Bukan. Bila kita kata salah, penalti itu kita akan tetapkan ikut … mungkin yang kita cadangkan ialah sejumlah, katakan lima kali daripada harga original cakera itu. Kalau harga original RM50, dia kena denda RM250 maksimum,” katanya.

Beliau memberi alasan, dari segi prinsip undang-undang, pembeli barang yang dijual secara haram juga sepatutnya dikenakan tindakan.

“Cetak rompak adalah haram, untuk mengeluarkan cakera CD atau DVD haram, menjual CD dan DVD haram juga menyalahi undang-undang, tiba-tiba membeli tidak haram?

“Jadi dari segi prinsip undang-undang adalah salah.. Kalau hendak selesaikan, maknanya kena beranilah untuk menghukum setiap lapisan daripada atas sampai bawah.

“Orang risau kita akan pecah rumah orang dan sebagainya. Saya tidak fikir kita akan lakukan seperti itu. Tetapi kalau kita terserempak dengan sesiapa yang mempunyai (barang cetak rompak), kita boleh mengambil tindakan,” katanya.

Tambahnya, kegiatan muat turun secara haram juga akan dimasukkan ke dalam akta baru tersebut namun kejayaan penguatkuasaannya masih belum dapat dijangka.

Individu terlibat melakukan kesalahan muat turun secara haram boleh didenda sehingga RM250,000 tetapi setakat ini ia hanya tinggal sebagai amaran.

Ikut cara Korea

“Kegiatan muat turun bukanlah satu perkara yang mudah untuk ditangani sebab ia boleh dilakukan di bilik tidur. Tapi kita akan sekat di peringkat penyedia perkhidmatan.

“Saya pergi ke Korea baru-baru ini. Cara Korea menangani muat turun haram ini sangat menarik. Mereka boleh kesan di mana kegiatan muat turun ini berlaku daripada pejabat suruhanjaya hakcipta itu sendiri,” katanya.

Tambahnya, suruhanjaya tersebut tidak mengambil tindakan secara langsung kepada individu terlibat dengan kegiatan tersebut tetapi ia dilakukan oleh penyedia perkhidmatan internet.

“Mereka minta kepada penyedia perkhidmatan, untuk yang pertamanya memberi amaran kepada orang yang muat turut, dan muat turun haram itu diteruskan, mereka boleh sekat akaun pengguna tersebut.

Ismail juga berkata kerjasama akan dilakukan dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

“Akan buat kerjasama dengan SKMM dan penyedia perkhidmatan. Kita tidak akan mewujudkan satu suruhanjaya tapi kita akan buat secara pentadbiran. Kita mungkin akan tubuhkan satu jawatankuasa, satu jabatan khusus dan sebagainya.

“Kita juga akan mengikut secara Korea juga, iaitu setiap hakcipta akan didaftarkan. Kita juga akan daftarkan, misalnya untuk pengeluaran buku.

“Kalau timbul kegiatan cetak rompak dan sebagainya, pendaftaran itu boleh dijadikan sebagai bukti untuk dibawa ke mahkamah,” katanya.

Ismail juga berkata kementerian itu bagaimanapun menjangkakan akan menghadapi masalah dalam menjalankan penguatkuasaan.

Susah untuk kita kesan secara terperinci (setiap kegiatan muat turun). Ianya sangat sukar kerana ianya berlaku pada setiap ketika.

“Saya tengok di Korea itu pun, walaupun mereka ada 20 komputer besar, yang kerja orang itu hanya tengok (skrin komputer) tapi ia tidak mudah juga.

“Kita mungkin perlu dapatkan alat (yang digunakan oleh Korea). Kita akan menghantar para pegawai peguatkuasa kita ke Korea untuk belajar daripada mereka kerana perkara ini sangat baru bagi kita.

Beliau juga sukar untuk memberi jangkaan terhadap kejayaan terhadap usaha untuk membendung kegiatan muat turun secara haram. Namun tindakan ke atas kegiatan cetak rompak nampaknya membuahkan hasil berdasarkan kejayaan penguatkuasaan setiap tahun, katanya.

Teknologi sukarkan penguatkuasaan

“Yang saya nampak adalah (penguatkuasaan ke atas) DVD dan VCD haram lebih berkesan, kerana sekarang pun kita sudah lancarkan gerak gempur DVD dan VCD haram ramai yang kita tangkap dan kalau orang yang membeli pun akan dihukum ramai yang takut untuk membeli.

“Bagi mereka kalau hukuman lima kali harga yang original, lebih baik beli yang original RM50 daripada bayar dendar RM250, contohnya. Yang itu saya jangka akan dapat kurangkan dari segi pembelian oleh pengguna. Tapi muat turun haram ini masih terlalu awal untuk saya katakan dari segi kejayaan.

Beliau bagaimanapun bertekad untuk memulakan usaha bagi menyekat muat turun haram, memandangkan teknologi media semakin berkembang dan semakin menyukarkan penguatkuasaan.

“Seperti yang saya sebut tadi, bukan satu perkara mudah tapi kita mesti lakukan. Ini sesuatu yang (memerlukan) kepakaran tinggi sebab itu saya tidak mahu beri jaminan dari segi kejayaan kita. Tapi kita perlu lakukannya.

“Kalau kita langsung tidak usahakan, dari segi teknologi, semakin hari semakin berubah. Mungkin lima tahun atau sepuluh tahun akan datang, dan tidak ada sesiapa yang gunakan VCD atau DVD secara fizikal plastik macam ini, mungkin satu hari nanti tidak ada lagi,” katanya lagi.

Sumber: Malaysiakini

8 thoughts on “PETIKAN BERITA: Menteri akui sukar banteras muat turun haram”

    1. Kalau download berbayar mmg takda masalah. Yg kerajaan nak cuba banteras skrg muat turun lagu secara haram atau tidak sah. Kalau yg bebayar tu artis akan dapat royalti tapi yg haram artis tak dapat apa2.

  1. Agak sukar dibendung juga tu, sikap manusia pun sangat memainkan peranan. Jika pencipta produk membenarkan muatturun walaupun secara berbayar pengguna tetap membelinya walaupun dia tahu ianya haram, si pengguna pula boleh buat untung disitu…kehendak pelanggan itu yg perlu ditapis namun sukar juga kalau kemahuan individu berbeza-beza.

    Yg perlu dibentras adalah yg menjadikan produk original kepada lanun kemudian membenarkan pengguna mendownloadnya…ni kena wujudkan jawatan baru hacker pembenteras jenayah ni..
    .-= Muhd Suhaily´s last blog ..Tip ringkas menjalankan ‘Events’ =-.

  2. huhu..benda klu dah terbiar tanpa tuannya.jika letak kat tmpat bersepah2 pasti akan ada org yang curiknya..lagi podih klu tiada nama hak asal milik brg tsbut.pasti org akan sdut punya..huhu..

  3. skrg ni da xnmpak pnjual bukak booth kat uptown jual cd cetak rompak. its a good sign. nk donlod lagu brbayar plak, mahal sgt la.

    tapi, kesedaran pgguna boleh merencatkn tumbesaran bisnes cetak rompak. beli brg cetak rompak budaya tidak beretika. pengguna kna hargai pnat lelah pengeluar. our indutry is so small (maksud aku industri muzik). producer depends on domestic consumption, so as consumers we have to support them. kalu xmampu beli, dgr je radio.=)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *