Semak Jenama Sebelum Daftar

Kebanyakan pemilik jenama hanya buat permohonan trademark bila bisnes dah berjalan. Jenama pun dan dipromosikan kepada pelanggan.

Dalam banyak keadaan, jenama yang diguna tu tak menepati syarat pendaftaran trademark atau mempunyai persamaan dengan trademark berdaftar sedia ada. Ini disebabkan takda pengetahuan berkenaan syarat pendaftaran trademark dan tak buat carian dulu sebelum lancarkan jenama. Jenama yang dah keluar tv pun ada yang menerima bantahan atas sebab yang sama.

Jika ini berlaku, bersedialah menerima surat bantahan dari MYIPO. Ada bantahan masih boleh dibuat rayuan dan boleh diluluskan dan ada juga yang peluang rayuan diterima teramatlah tipis atau takda langsung. Yang takda peluang langsung ni memang disarankan untuk tukar jenama. Rayuan untuk bantahan akan melibatkan kos (jika guna khidmat ejen) dan masa yang panjang untuk dapat keputusan. Jika rayuan ditolak, kena pergi sesi hearing pula. Tau ke cara nak kendalikan sesi hearing ni. Takkan nak tukar jenama, kos lagi tu.

Jadi disarankan kepada bakal pemilik jenama, buat sedikit research terutamanya carian trademark supaya pendaftaran jenama kita nanti tak bermasalah di kemudian hari.

ISU PENGGUNAAN JENAMA “SHELL OUT”

 

1. Jenama Shell Out ini telah dipohon pada tahun 2013 oleh pemiliknya Yap Hong Liang dan telah mendapat pendaftaran rasmi pada 2014 di bawah kelas 43 untuk kategori restoran dan penyediaan makanan.

2. Trend makan berkonsepkan “shell out” hanya popular bermula sekitar tahun 2015. Secara teorinya, pengusaha-pengusaha makanan berkonsepkan “shell out” ini mungkin meniru konsep makan bersepah di atas meja ini tanpa mengetahui bahawa nama “shell out” ini bukanlah nama makanan atau konsep makanan, tetapi ia adalah trademark yang berdaftar.

3. Pihak pemilik jenama “Shell Out” telah pun membuat notis amaran di akhbar mengenai larangan penggunaan nama “Shell Out” yang mana ia adalah milik eksklusif pemiliknya iaitu Yap Hong Liong.

4. Justeru, bagi mengelak diambil tindakan, pengusaha-pengusaha makanan berkonsepkan “shell out” perlu menghentikan sesegera mungkin penggunaan nama shell out pada menu, papan tanda, iklan dan sebagainya yang memaparkan penggunaan nama “shell out”.

5. Kebanyakan pengusaha makanan menggunakan nama “shell out” ini merujuknya sebagai nama menu atau makanan. Mungkin sudah tiba masanya untuk menukar nama menu tersebut kepada nama lain seperti “Crab and prawn with special sauce served with fries, rice and corn”.

6. Tidak timbul isu “saya tak guna logo shell out tu, guna perkataan shell out je”. Ini kerana pendaftaran yang dimiliki oleh pemiliknya merangkumi trademark berlogo dan juga perkataan.

7. Ada juga yang mendakwa nama “shell out” ini sudah menjadi “generic” atau “common”, merujuk kepada konsep makan bersepah di atas meja. Ya, kalau rasa hujah ini kuat, boleh failkan “invalidation” atau pembatalan trademark ini ke mahkamah. Tapi siapa nak tanggung kos mahkamah? Boleh pakat-pakat la kot sesama pengusaha-pengusaha “shell out”.

SEKIAN

The more you delay, the more you pay

Kisah ‘The more you delay, the more you pay’ dalam kelewatan mendaftarkan trademark.

Syarikat A telah melantik Ali sebagai CEO syarikat bagi mengetuai team pemasaran produk jam tawaf dengan jenama T. Sampai satu masa, Ali telah dipecat dari jawatan CEO kerana perbuatan khianat terhadap syarikat A.

Ali telah keluar dari Syarikat A dan membuka syarikat baru bagi menjual produk yang sama dengan jenama yang sama. Ali telah membuat permohonan jenama T di MyIPO di bawah nama syarikatnya dan mendapat kelulusan.

Syarikat A yang baru sahaja menyedari kepentingan mendaftar jenama telah membuat permohonan pendaftaran jenama T. Malangnya permohonan syarikat A telah mendapat bantahan kerana membuat permohonan trademark yang sama dengan trademark yang telah dimohon terlebih awal iaitu jenama T yang dimohon oleh syarikat Ali.

Syarikat A tidak berpuas hati kerana Jenama T adalah jenama yang di asaskan oleh syarikat A. Untuk mempertahankan jenama T, syarikat A terpaksa mengeluarkan kos untuk membuat rayuan atas bantahan dan dalam masa yang sama memfailkan notis bangkangan untuk mencabar permohonan trademark yang dimiliki syarikat Ali.

Kes ini masih berlarutan kerana prosiding bangkangan mengambil masa yang panjang dan kos yang tinggi.

Syarikat A menyesal kerana tidak membuat permohonan jenama T lebih awal dan sekarang terpaksa mengeluarkan kos yang tinggi bagi mempertahankan jenama T miliknya. Untuk menukar jenama atau rebranding adalah agak mustahil kerana ratusan ribu ringgit telah dikeluarkan untuk membuat promosi, pembelian produk dan pelabelan Jenama T pada jam tawaf yang dijual.

Syarikat A tiada pilihan selain mempertahankan jenama T yang diasaskannya.

‘The more you delay, the more you pay’

Pendaftaran Slogan Sebagai Cap Dagangan

Baru baru ini saya mendapat e-mel dari pembaca yang bertanyakan tentang pendaftaran slogan sebagai cap dagangan. Antara soalan yang ditanya ialah bagaimana untuk mendaftarkan slogan.

Sebelum saya pergi lebih jauh, slogan dalam konsep penjenamaan merujuk kepada satu frasa perkataan yang merujuk kepada kualiti, sifat atau gambaran kepada sesuatu produk atau perkhidmatan. Kebiasaannya slogan digunakan di dalam pengiklanan bagi mencetuskan satu frasa yang unik yang dapat diingati oleh pelanggan sesuatu produk atau perkhidmatan. Continue reading Pendaftaran Slogan Sebagai Cap Dagangan

Harta Intelek – Cap Dagangan

registered-trademark

Sebelum ini saya telah menerangkan secara umum mengenai apakah itu harta intelek. Untuk entri kali ini, saya akan menerangkan mengenai salah satu cabang harta intelek iaitu cap dagangan atau ‘trade mark’ di dalam bahasa inggeris.

Cap dagangan merujuk kepada satu tanda yang dapat membezakan antara barangan atau perkhidmatan yang ditawarkan oleh pemiliknya dengan barangan atau perkhidmatan yang ditawarkan pemilik lain. Sebagai contoh, pemilik barangan kopi A menggunakan jenama SATU bagi membezakan barangan kopinya dengan pemilik barangan kopi B, yang mana pemilik B menggunakan jenama DUA bagi kopinya. Maka di sini pelanggan akan dapat membezakan di antara kopi A dan kopi B menerusi jenama SATU dan DUA.

Cap dagangan merangkumi perkataan, huruf, nombor, nama, tandatangan, logo dan kombinasi antaranya. Simbol-simbol yang dikaitkan dengan cap dagangan ialah (R) bagi menunjukkan cap dagangan tersebut telah didaftarkan manakala TM bagi menunjukkan cap dagangan tersebut sedang digunakan atau menanti proses pendaftaran. Continue reading Harta Intelek – Cap Dagangan

Bengkel Pengkomersilan Paten

Salam,

Sudah lama saya tidak mengemaskini blog ini atas sebab-sebab kekangan tugas dan waktu. Ditambah pula dengan keadaan sambungan internet yang tidak berapa baik di rumah, agak susah untuk saya akses ke laman ‘back end’ blog ini. Tapi alhamdulillah, selepas berpindah ke rumah baru, sambungan internet nampaknya semakin baik.

Untuk pos kali ini, saya ingin berkongsi pengalaman saya menghadiri bengkel pengkomersilan paten di Kampus Antarabangsa Universiti Teknologi Malaysia. Penceramah adalah Dr. Faiz F. Sherman, pegawai penyelidikan dari Procter & Gamble Amerika Syarikat. Procter & Gamble terkenal dengan jenama-jenama seperti Gillette, Hugo Boss, Oral-B dan Pampers.

Di bawah adalah gambar-gambar sekitar bengkel:

Image456 Continue reading Bengkel Pengkomersilan Paten

PETIKAN BERITA – MyIPO kaji isu perkataan ‘live’


Ketua Pengarah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Kamel Mohamad.

Dapat kerjasama badan royalti tempatan dan artis sendiri yang memahami Akta Hak Cipta 1987

BERHUBUNG dengan tuntutan Performers & Artistes Rights (M) Sdn Bhd (Prism) dan juga Majlis Muzik Malaysia (MMM) mengenai isu perkataan ‘live’ di dalam artikel 16A (1) Akta Hak Cipta 1987 berkait dengan hak persembahan pelaku mengelirukan, Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) sedang dalam peringkat mengkaji secara terperinci sebelum keputusan dibuat.

Ketua Pengarahnya, Kamel Mohamad berkata, bermula tahun ini tiga akta iaitu Paten, Rekabentuk termasuk Hak Cipta adalah sasaran utama pihaknya agar sistem perundangan negara menjadi lebih kompetitif dan berdaya saing dengan sistem di negara luar.

“MyIPO turut menerima banyak aduan dan cadangan, baik daripada badan royalti mahupun secara terus dari artis yang memahami berkaitan Akta Hak Cipta 1987. Continue reading PETIKAN BERITA – MyIPO kaji isu perkataan ‘live’

PETIKAN BERITA – Akta Hak Cipta Akan Dipinda Bagi Bela Karyawan Tanah Air

KUALA LUMPUR, 18 Jan (Bernama) — Akta Hak Cipta 1987 akan dikaji semula bagi melindungi karyawan muzik dan artis tanah air daripada dieksploitasi pihak tidak bertanggungjawab, kata Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Joseph Salang Gandum.

Beliau berkata karyawan muzik sering menjadi mangsa ekoran kewujudan laman web yang menawarkan aktiviti muat turun secara percuma dan pindaan terhadap rang undang-undang itu perlu disegerakan bagi membendungnya daripada terus berleluasa.

“Sudah tiba masanya kerajaan mengkaji dan meminda hak cipta bagi melindungi para karyawan muzik dan harta intelek daripada segala bentuk penipuan dan eksploitasi.

“Hukuman keras patut dikenakan ke atas laman web yang menggunakan muzik tanpa lesen daripada pemilik hak ciptanya,” kata Salang ketika ditemubual dalam program Bual Bicara Eksklusif di Radio Malaysia Klasik Nasional yang bersiaran pada frekuensi 98.3fm Isnin.

Salang ditemubual selama setengah jam oleh Pengurus Radio Malaysia Klasik Nasional Chuari Selamat dan Penerbit Rancangan Radio Klasik Nasional Khalim Rohani.

Dalam temubual itu, Salang turut memberitahu bahawa kerajaan telah meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Telekom Malaysia untuk menyediakan kertas cadangan mengenai penyediaan perkhidmatan internet pada kadar yang rendah.

“Rakyat mengharapkan kos internet pada kadar yang rendah ketika kemajuan telekomunikasi dan internet di Malaysia semakin pesat

“Kerajaan menyedari kos internet di Malaysia masih tinggi, oleh itu kerajaan meminta SKMM dan Telekom Malaysia menyediakan kertas cadangan yang akan dibentangkan di Parlimen Februari depan,” katanya.

Mengenai penerimaan rakyat terhadap konsep 1Malaysia, Salang dalam sidang media selepas itu berkata rakyat khususnya di Sabah dan Sarawak telah mula menghayati dan memahami konsep tersebut menerusi pelbagai aktiviti kemasyarakatan.

“Di Sarawak (contohnya) dalam satu keluarga memang pelbagai agama pun ada, tidak hairan saya katakan dalam keluarga-keluarga tertentu ada yang beragama Buddha, Hindu, Islam atau Kristian, ini (isu agama) memang tidak disentuh kerana ia adalah kehendak dan kemahuan seseorang.

“Kelainan antara kita maka lebih rapat perhubungan kita antara satu sama lain, kalau kita tidak mengambil kelainan ini sebagai satu isu, kita boleh menerima kepelbagaian itu, ia adalah menjadi aset utama negara kita dan untuk menceriakan lagi suasana (perpaduan) di negara ini,” kata Salang yang juga anggota Parlimen Julau di Sarawak.

— BERNAMA

Apa Itu Harta Intelek? (Pengenalan Kepada Harta Intelek 2)

Salam dan selamat sejahtera. Untuk tambahan kepada artikel saya yang lepas berkenaan pengenalan kepada harta intelek, saya akan memberikan pengenalan apakah itu harta intelek sebagaimana pengenalan yang diberikan oleh Perbadanan Harta Intelek Malaysia menerusi laman webnya http://www.myipo.gov.my.

Harta intelek merujuk kepada ciptaan yang diperoleh dari akal fikiran termasuk hasil kerja sastera dan seni, simbol, nama, imej dalam pelbagai bentuk sama ada gambar atau lukisan dan reka bentuk yang digunakan di dalam perdagangan atau perniagaan.

Harta intelek terbahagi kepada dua kategori iaitu Harta Industri dan Hak Cipta. Harta Industri merangkumi Cap Dagangan, Paten, Reka Bentuk Perindustrian dan Petunjuk Geogragi. Hak Cipta pula merangkumi hasil kerja sastera dan seni seperti novel, puisi, persembahan, filem, hasil karya muzik, lukisan, gambar, ukiran dan reka bentuk bangunan. Hak-hak berkaitan Hak Cipta juga melibatkan persembahan artis, penerbitan rakaman bunyi dan juga program-program dalam penyiaran radio dan televisyen.

Satu lagi cabang harta intelek yang tidak dinyatakan sebelum ini ialah Variati Tumbuhan (Plant Variety). Variati Tumbuhan merujuk kepada hak eksklusif yang diberikan kepada pengusaha atau pembiak baka tumbuhan untuk mengeksploitasi kepelbagaian baka baru bagi tumbuhan. Walaubagaimanapun, urusan pentadbiran dan pendaftaran Variati tumbuhan tidak dijalankan oleh MyIPO, sebaliknya dijalankan oleh Jabatan Pertanian Malaysia.

Sekian untuk kali ini..

Pengenalan Kepada Harta Intelek

intellectual-property

Salam dan selamat sejahtera. Untuk pos kali ini, saya akan menerangkan secara umum mengenai harta intelek.  Secara umumnya, harta intelek bolehlah didefinasikan sebagai satu bentuk monopoli yang diiktiraf undang-undang ke atas hasil kerja atau ciptaan yang dicetuskan menerusi pemikiran.

Harta intelek terbahagi kepada 6 cabang utama iaitu Cap Dagangan (Trademark), Reka Bentuk Perindustrian (Industrial Design), Paten, Hak Cipta (Copyright), Petunjuk Geografi (Geographical Indication) dan Reka Bentuk Litar Bersepadu (Integrated Circuit Design). Undang-undang berkaitan harta intelek di Malaysia ditadbir oleh 6 akta yang berasingan iaitu Akta Cap Dagangan 1976, Akta Reka Bentuk Perindustrian 1996, Akta Paten 1983, Akta Hak Cipta 1987, Akta Petunjuk Geografi 2000 dan Akta Reka Bentuk Litar Bersepadu 2000.

Badan yang bertanggungjawab menyelia pentadbiran harta intelek di Malaysia ialah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), sebuah agensi di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan. MyIPO bertangungjawab dalam menjalankan proses pendaftaran dan pengeluaran sijil bagi Cap Dagangan, Reka Bentuk Industri, Paten, Petunjuk Geografi dan Reka Bentuk Litar Bersepadu. Harta Intelek di bawah cabang Hak Cipta tidak memerlukan sebarang pendaftaran kerana perlindungan hasil karya di bawah Hak Cipta adalah diiktiraf secara automatik oleh undang-undang.

Untuk pos yang akan datang, saya akan menerangkan dengan lebih terperinci bagi setiap cabang harta intelek.

Wassalam..