Saya telah mendapat satu pertanyaan dari pembaca blog ini tentang perbezaan di antara nama syarikat dan cap dagangan. Antara kekeliruan yang ditanya adalah sama ada nama syarikat boleh digunakan sebagai cap dagangan dan apa perlunya daftar cap dagangan sedangkan nama syarikat telah berdaftar.
Untuk pengetahuan semua, nama syarikat dan cap dagangan adalah dua perkara yang berbeza. Pendaftaran nama syarikat adalah lesen untuk seseorang memulakan perniagaan manakala pendaftaran cap dagangan adalah satu langkah untuk melindungi jenama sesuatu produk ditiru atau digunakan secara tidak sah oleh orang lain.Nama syarikat boleh didaftarkan sebagai cap dagangan jika ia ditampilkan dalam bentuk yang tersendiri. Ini bermakna nama syarikat tersebut boleh digunakan sebagai nama sesuatu produl. Saya mengambil contoh Jenama Power Root, jenama Power Root adalah berdasarkan nama syarikat Power Root Sdn Bhd dan ia telah didaftarkan.
Pendaftaran nama syarikat sahaja tidak memadai untuk melindungi jenama sesuatu produk dari ditiru atau disalahgunakan. Seperti yang saya katakan sebelum ini, nama syarikat adalah lesen untuk memulakan perniagaan manakala cap dagangan adalah jenama sesuatu produk.
Syarikat Nestle mempunyai deretan cap dagangan seperti Milo, Maggi dan Nescafe. Nestle telah mendaftarkan nama syarikatnya sebagai cap dagangan bagi melindungi sebarang produk yang menggunakan jenama Nestle. Di samping itu, Nestle juga mendaftarkan jenama-jenama khusus untuk produknya seperti Milo dan Nescafe untuk minuman bagi mengelakkan berlaku peniruan dan salahguna jenama.
Antara perbezaan lain adalah pendaftaran nama syarikat dikendalikan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) manakala pendaftaran cap dagangan dikendalikan oleh Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).
Diharap artikel ini dapat merungkai persoalan yang ditanya oleh pembaca tadi.
tak silap kalau nama black list tak boleh daftar nama syarikat.. tul ke erk?
Tak pastilah pulak psl ni. Kena rujuk balik companies act ni.