Saya ingin mengulas sedikit petikan berita yang telah saya poskan semalam. Apa yang menarik perhatian saya ialah tentang kurangnya kesedaran masyarakat perniagaan terutama dari industri kecil dan sederhana untuk mendaftarkan harta intelek mereka. Jika kita bercakap tentang industri kecil, harta intelek yang biasanya terlibat ialah cap dagangan dan reka bentuk perindustrian. Paten mungkin ada tetapi bilangannya cukup sedikit.
Sepanjang pengalaman saya bekerja di firma harta intelek dulu, saya kira kesedaran dari masyarakat peniaga masyarakat cina adalah baik mengenai kepentingan pendaftaran harta intelek. Boleh saya katakan hampir 95% klien saya ketika itu adalah peniaga cina dan selebihnya melayu dan india. Bagi syarikat atau peniaga melayu yang telah maju dalam perniagaan mereka, biasanya mereka telah terdedah kepada kepentingan pendaftaran harta intelek ini. Namun bagi pengusaha atau peniaga kecil terutamanya di luar bandar, kesedaran ini masih lagi belum wujud.
Ramai di kalangan pengusaha kecil telah mengeluarkan produk-produk yang bermutu sama ada dari sektor makanan, pakaian dan sebagainya. Malah ada di antaranya mempunyai kualiti yang hampir setaraf dengan barangan berjenama yang telah sedia ada di pasaran. Apa yang membezakan mungkin dari segi jenama sahaja.
Walau bagaimanapun, jika produk tersebut berkualiti, tidak mustahil ia akan menjadi perhatian pelanggan walaupun jenamanya tidak segah jenama-jenama popular lain di pasaran. Malah, dengan penerimaan baik dari pelanggan, jenama tersebut akan di bina dan akan menjadi jenama yang menjadi sebutan di kalangan pelanggan. Jika sesuatu jenama telah menjadi terkenal, sudah tentu akan ada ‘lanun-lanun’ yang akan cuba memanipulasikan jenama tersebut dengan pelbagai cara. Sebagai contoh mengeluarkan produk tiruan dengan jenama tersebut.
Amat malang jika tuan punya jenama tersebut tidak mendaftarkan jenama atau cap dagangan tersebut kerana amat sukar bagi tuan punya jenama tersebut untuk mengambil tindakan terhadap ‘lanun-lanun’ tersebut. Jika pendaftaran telah dibuat, maka tindakan adalah lebih mudah kerana sijil pendaftaran cap dagangan merupakan bukti kukuh bahawa seseorang itu adalah pemilik sah sesuatu cap dagangan.
Oleh itu, uruskanlah harta intelek anda, daftarkan dan anda akan dapat manfaatnya pada masa hadapan.