DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob menyorot satu pengalamannya mengenai kerugian besar yang dialami seorang pengusaha produk air mineral.
Ketika itu, air mineralnya amat digemari ramai. Sebut sahaja jenamanya, pasti mendapat tempahan tinggi daripada para peniaga berdekatan Alor Setar, Kedah.
Sayangnya, Hilmi (bukan nama sebenar) tidak mengendahkan keperluan produk air mineral keluarannya mempunyai cap dagangan. Ketika air mineralnya kian mendapat tempat di hati pelanggan, suatu hari Hilmi terpandang sebotol air mineral yang seakan-akan mirip produk keluarannya. Malang segalanya sudah terlambat. Beberapa minggu kemudian, Hilmi disaman kerana didakwa menciplak produk air mineral sebuah syarikat kecil di ibu negeri Kedah itu.




