Sebelum ini, saya telah pun membuat ulasan berkenaan pelayar-pelayar web utama yang digunakan ketika ini. Anda boleh membaca ulasan tersebut di sini. Selepas setahun, banyak perubahan yang telah berlaku kepada pelayar-pelayar web ini dari segi reka bentuk pelayar, sokongan skrip dan format web terkini serta kepantasan.
Jika sebelum ini Internet Explorer dilabelkan sebagai pelayar web yang paling tidak inovatif dan bermasalah. Namun, dengan pelancaran Internet Explorer versi 9 telah mengubah persepsi ini dan Internet Explorer kembali bersaing dengan pelayar-pelayar web yang lain. Sepanjang saya menggunakan IE9, saya merasakan banyak perubahan yang telah dilakukan oleh pihak Microsoft terutama dari segi reka bentuk pelayar. IE9 juga menyokong versi HTML terbaru, HTML 5 dan dari segi prestasi, ia agak ringan dan pantas dari segi pelayaran web.
Walau bagaimanapun, saya menghadapi masalah dari segi grafik pelayar web ini memandangkan pelayar web ini menggunakan sepenuhnya ‘Hardware Acceleration’ dalam proses graphic rendering yang mana ia membuatkan tulisan dan grafik menjadi agak kabur. Ada kemungkinan perkakasan grafik yang digunakan komputer saya tidak serasi dengan teknologi yang digunakan oleh IE9 ini. Untuk makluman, IE9 hanya boleh dipasang kepada sistem operasi Windows Vista dan Windows 7 sehaja.
Google Chrome, pelayar yang dibangunkan oleh Google merupakan pelayar yang paling cepat berkembang dan menjadi pilihan ramai di kalangan pengguna internet masa kini. Google Chorme adalah pelayar web yang ringkas, ringan dan pantas. Pelayar web ini juga menyokong format-format web terbaru seperti HMTL 5, java script dan sebagainya. Paparan grafik agak cantik dan mempunyai pilihan sama ada untuk mengaktifkan sokongan hardware acceleration atau pun tidak.
Saya juga mempunyai masalah dengan pelayar ini di mana ia agak kerap memuat semula ataupun refresh ke semua tab yang telah dibuka tanpa sebarang sebab. Saya tidak tahu di mana puncanya, dan bsedasarkan carian saya di Google, ramai yang menghadapi masalah yang sama.
Saya merupakan pengguna setia Mozilla Firefox sejak dari versi 2 lagi sebelum saya bertukar seketika kepada Google Chrome. Setelah kemunculan Firefox 4, saya rasa telah jatuh cinta dengan pelayar ini memandangkan Firefox 4 telah membuat perubahan besar terhadap versi-versi Firefox sebelum ini. Rekabentuk pelayar ini telah dipermodenkan dan ia agak menyerupai reka bentuk Google Chrome di mana tab diletakkan di bahagian tetingkap web. Dari segi prestasi dan kepantasan, ia jauh meninggalkan versi Firefox sebelum ini dan setara dengan kepantasan Google Chrome yang diwarwarkan sebagai pelayar web terpantas.
Setakat hari ini, saya tidak menghadapi masalah menggunakan pelayar ini. Pelayar ini menyokong versi HTML5 dan menjalankan laman-laman web yang mempunyai java script dengan baik sekali. Sehingga hari ini, Firefox 4 telah dimuat turun sebanyak 30,000,000 kali oleh pengguna-pengguna seluruh dunia.
Ulasan saya di atas hanya pengalaman peribadi saya sahaja dan anda mungkin mempunyai pengalaman anda sendiri dengan pelayar web kegemaran anda. Kongsikan pengalaman anda di ruangan komen di bawah.