PETIKAN BERITA – MyIPO kaji isu perkataan ‘live’

By | February 10, 2010

Ketua Pengarah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Kamel Mohamad.

Dapat kerjasama badan royalti tempatan dan artis sendiri yang memahami Akta Hak Cipta 1987

BERHUBUNG dengan tuntutan Performers & Artistes Rights (M) Sdn Bhd (Prism) dan juga Majlis Muzik Malaysia (MMM) mengenai isu perkataan ‘live’ di dalam artikel 16A (1) Akta Hak Cipta 1987 berkait dengan hak persembahan pelaku mengelirukan, Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) sedang dalam peringkat mengkaji secara terperinci sebelum keputusan dibuat.

Ketua Pengarahnya, Kamel Mohamad berkata, bermula tahun ini tiga akta iaitu Paten, Rekabentuk termasuk Hak Cipta adalah sasaran utama pihaknya agar sistem perundangan negara menjadi lebih kompetitif dan berdaya saing dengan sistem di negara luar.

“MyIPO turut menerima banyak aduan dan cadangan, baik daripada badan royalti mahupun secara terus dari artis yang memahami berkaitan Akta Hak Cipta 1987.

“Kita juga menerima cadangan MACP dan PPM. Sebenarnya sistem kita adalah sistem antarabangsa dan Prism adalah salah satu organisasi yang ingin memperjuangkan hak ini. Jika dilihat dari segi perundangan, Prism punya hak tidaklah begitu menyeluruh seperti hak yang diberikan kepada penulis lirik, komposer dan syarikat rakaman.

“Kita akui apabila ada perkataan ‘live’ di dalam artikal 16A (1) Akta Hak Cipta 1987 itu, kita bandingkan dengan negara lain yang kebanyakannya tidak menggunakan perkataan itu. Namun kita juga harus memikirkan kenapa masa dulu penggunaan ‘live’ itu digunakan dan apakan sebab musababnya.

“Disamping itu juga, kita harus memikirkan juga apakah keistimewaan yang diperoleh sekiranya perkataan itu dikeluarkan. Buat masa ini kita tidak boleh berkata MyIPO bersetuju atau tidak kerana jika kita setuju mungkin pihak lain tidak setuju.

“Kita masih melihat dan membandingkan semula dengan negara lain termasuk negara baru yang sudah membuat perubahan. Seperti di negara maju yang lain, mereka bukan saja melihat hak keistimewaan itu untuk pelaku saja tetapi juga hak orang awam. Kita tak mahu bebankan kepentingan awam supaya kita akan dapat menjadikan sistem perlindungan negara kita adil kepada semua pihak,” katanya.

Menurut Kamel, definisi yang mengelirukan itu akan didebat bersama badan royalti, pelaku, persatuan muzik dan kerajaan untuk mendapatkan definisi yang lebih jelas dalam masa terdekat ini.

“Dulu perkataan penyiaran awam (public perfomer) senang untuk didefinisika, di mana masa itu kita hanya mempunyai TV dan radio saja tetapi sekarang kita sudah ada jaringan internet yang meluas.

“Apa yang harus kita definisikan? Adakah ia masih lagi satu bentuk penyiaran awam. Definisi ini masih kabur dan longgar lagi. Perkara seperti inilah yang harus kita debat dan perketatkan sebelum sesuatu pindaan akta itu digubal.

“Selepas itu kita akan membentangkan usul ini kepada pemegang kepentingan kita yang ada di luar negara kerana mereka sewajarnya mengetahui perkara ini,” katanya.

Berhubung dengan perundangan hak cipta di negara ini, pelaku tidak perlu mendaftarkan karya mereka berbanding harta intelek yang lain.

“Hak cipta ini wujud secara automatik apabila sesuatu karya itu wujud seperti contoh jika kita buat lagu maka dengan automatik lagu itu dilindungi. Di sesetengah negara seperti Amerika Syarikat harta intelek hak cipta mereka didaftarkan untuk dilindungi.

“Di negara ini tempoh hak cipta dilindungi bagi karya sastera, muzik dan seni wujud semasa hayat pencipta dan 50 tahun selepas kematiannya. Bagi karya rakaman bunyi, filem dan siaran hak cipta wujud selama 50 tahun bermula dari tahun kalendar selepas tarikh ia mula diterbitkan.

“Kebanyakan negara luar mereka sudah menambah tempoh lindungan sehingga 70 tahun dan Amerika Syarikat sudah hampir ke 90 tahun,” katanya.

WPPT, Konvensyen Rome beri keistimewaan kepada pelaku

SEJAK negara menjadi ahli kepada Konvensyen Berne pada 1 Oktober 1990, perlindungan penuh untuk Karya Seni dan Sastera diperoleh seperti yang ditetapkan di bawah peruntukan Konvensyen Berne.

Pindaan Akta Hak Cipta 1987 pada tahun 2000 di bawah artikel 16B, memberikan hak baru yang dikenali sebagai ‘Hak Pelaku’ untuk membenarkan pemuzik dan artis rakaman mengutip ‘equitable remuneration’ atau saraan saksama.

Kini Perjanjian Persembahan dan Phonogram (WPPT) 1996 dan Konvensyen Rome (1961), menawarkan hak lanjutan perlindungan eksklusif untuk pelaku termasuk konteks teknologi digital seperti internet dan telekomunikasi.

Negara belum menyertainya dan sekiranya perkara ini direalisasikan, hak pelaku akan terpelihara ketika rakaman mereka disebarkan melalui teknologi baru. Disamping itu juga WPPT bukan saja memberikan skim lebih lebar untuk hak pelaku, dari segi sokongan antarabangsa, malah juga menyediakan rangka kerja yang lebih sesuai untuk pelaksanaan dasar kerajaan mengenai undang-undang hak pelaku.

“Memang benar, buat masa ini negara kita masih belum menyertai WPPT (1996) dan sedang mengkaji. Kita akan pergi kepada kerajaan dan mencadangkan pindaan agar kita boleh menyertai ahli WPPT.

“Kerajaan akan putuskan keputusan itu, namun kajian menyeluruh harus dilakukan termasuk apakah keistimewaan yang boleh kita peroleh? Mungkin salah satunya ialah internet liabiliti yang mampu meletakkan negara kita seiring dengan negara luar.

“Semasa Akta Hak Cipta 1987 wujud kita masih menggunakan sistem disket. Dulu kita tidak pernah terfikir yang orang akan muat turun (download) menerusi internet.

“Sekarang kita melihat perkembangan teknologi begitu cepat bertukar, saya tidak kata negara sudah bersedia atau tidak tetapi kita sedang menghala ke arah itu. Kita mahu seimbangkan dengan teknologi terkini dan ingin pastikan perkembangan teknologi bersesuaian dengan modal bisnes,” katanya.

Namun Kamel tidak menafikan juga sekiranya cadangan pindaan peruntukan itu diluluskan oleh kerajaan, maka pelbagai keistimewaan boleh diperoleh.

“Sekiranya pindaan itu sudah ada maka secara automatik kita tidak ada masalah lagi untuk menyertai WPPT. Sebab kalau kita hendak menyertai WPPT, mereka (WPPT) mahukan sistem kita menjamin dan mempunyai apa yang mereka perlukan. Jadi peruntukan kita juga mengambil kira persekitaran internet. Jadi jika kerajaan menerima 100 peratus cadangan peruntukan itu bukan saja WPPT kita boleh menyertainya namun apa saja keanggotaan WIPO Treaties boleh kita sertai,” katanya.

INFO:

  • PERBADANAN Harta Intelek Malaysia (MyIPO) yang dulu dikenali sebagai Bahagian Harta Intelek ditubuhkan pada tahun 2003. Sebelum tahun 1983, hak harta intelek di negara ini ditadbir oleh Pejabat Pendaftaran Cap Dagangan dan Jamin Hak.
  • Pejabat ini kemudian ditukar namanya kepada Pejabat Pendaftaran Cap Dagangan dan Paten dalam tahun 1983 dan diletakkan di bawah bidang kuasa Kementerian Perdagangan dan Perindustrian.
  • Pada 27 Oktober 1990, kementerian itu membuat pengstrukturan semula dan diletakkan di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan ditukar nama kepada Bahagian Harta Intelek.
  • Bahagian ini bertanggungjawab mentadbir Akta Paten 1983, Akta Cap Dagang 1976 dan Akta Hak Cipta 1987. Selain itu, Akta Reka Bentuk Perindustrian 1996, Akta Reka Bentuk Susun Atur Litar Bersepadu 2000 dan Akta Petunjuk Geografi 2000.
  • MyIPO adalah badan korporat yang bertanggungjawab dalam memantau undang-undang harta intelek dan akta yang berkaitan dengan harta intelek.
  • Fungsinya adalah untuk mengawal selia dan bertindak sebagai penasihat dalam apa saja isu atau perkara berkaitan dengan perundangan atau yang berkaitan dengan perkara perundangan harta intelek.
  • Selain itu, mereka memproses, memeriksa dan mendaftar permohonan perlindungan harta intelek (paten, hak cipta, reka cipta industri, petunjuk geografi).
  • Menggalak dan mempertingkatkan latihan serta penyebaran maklumat berkaitan harta intelek adalah di bawah tanggungjawabnya termasuk menjalankan kajian dan penyelidikan berkaitan harta intelek.
  • Tidak lupa juga, MyIpo turut memberikan perkhidmatan pengurusan, memungut dan menguatkuasakan bayaran atau sebarang caj yang diperuntukkan di bawah perundangan harta intelek dan memberi khidmat nasihat kepada kerajaan mengenai isu semasa harta intelek serta perkara berkaitan di peringkat antarabangsa.
  • Sumber: Berita Harian

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *