Tip Pendaftaran Jenama Sebagai Cap Dagangan

By | February 3, 2014

Artikel terakhir saya dengan Majalah Niaga adalah berkenaan tip-tip untuk mencipta cap dagangan, satu panduan untuk usahawan mencipta jenama yang sesuai untuk didaftarkan sebagai cap dagangan. Alhamdulillah, sejak artikel ini diterbitkan, ramai yang memberikan respon yang baik dan dapat mencipta cap dagangan yang sesuai dengan kehendak undang-undang dan prosedur pendaftaran cap dagangan.

Rentetan dari artikel tersebut, saya ingin mengetengahkan satu lagi tip penting bagaimana untuk mencipta jenama yang baik, yang sesuai untuk didaftarkan sebagai cap dagangan dan mengelakkan sebarang bantahan dan bangkangan daripada pihak pendaftar dan pihak ketiga.

Untuk makluman semua, sistem pendaftaran cap dagangan di Malaysia adalah berdasarkan kaedah ‘first come first served’,  sesiapa yang telah mendaftarkan sesuatu cap dagangan terlebih dahulu, maka dia akan dapat hak pendaftaran terhadap cap dagangan tersebut. Jika ada pihak cuba memohon pendaftaran cap dagangan yang sama atau hampir sama pada kemudiannya, permohonan tersebut akan ditolak.

Akta Cap Dagangan 1976 juga melarang pendaftaran cap dagangan yang sama atau menyerupai cap dagangan yang telah sedia didaftarkan kerana ini akan mendatangkan kekeliruan kepada pengguna untuk membezakan kedua-dua cap dagangan tersebut bagi sesuatu produk atau perkhidmatan.

Saya berikan satu contoh, En. Nizam telah membuat permohonan pendaftaran bagi cap dagangan ‘Elephant’ untuk produk kasut pada 23 October 2013. Pada 1 Disember 2013, En. Alias cuba membuat permohonan cap dagangan yang sama, ‘Elephant’, juga untuk produk kasut.

Berdasarkan kaedah ‘first come first served’, permohonan En Nizam akan diluluskan oleh pihak pendaftar kerana beliau adalah orang yang pertama membuat permohonan untuk mendaftarkan cap dagangan ‘Elephant’ untuk produk kasut. Manakala permohonan En Alias akan ditolak kerana cuba memohon pendaftaran cap dagangan yang sama dengan cap dagangan yang telah dipohon terlebih dahulu.

Bagi mengelakkan berlakunya masalah permohonan cap dagangan yang sama, adalah digalakkan kepada pemilik-pemilik cap dagangan untuk membuat carian terlebih dahulu sebelum membuat sebarang permohonan pendaftaran cap dagangan. Carian boleh dilakukan di pejabat Perbadanan Harta Intelek Malaysia atau boleh mendapatkan khidmat ejen cap dagangan yang berdaftar.

Jika hasil carian menunjukkan sudah ada cap dagangan yang sama telah didaftarkan, pemilik boleh mengubah atau menukar cap dagangan yang ingin didaftarkan bagi mengelakkan persamaan berlaku. Jika keputusan adalah sebaliknya, permohonan boleh diteruskan oleh pemilik.

Carian cap dagangan juga penting bagi mengetahui sama ada cap dagangan yang sedang kita gunakan telah didaftarkan terlebih dahulu oleh pihak lain. Jika cap dagangan yang sedang kita gunakan telah didaftarkan terlebih dahulu oleh pihak lain, kita akan berhadapan risiko dikenakan tindakan undang-undang oleh pemilik cap dagangan yang berdaftar tadi kerana menggunakan cap dagangan berdaftar tanpa kebenaran pemiliknya.

Jika tindakan undang-undang dikenakan, sudah pasti perniagaan kita akan mengalami masalah dan ada kemungkinan terpaksa ditutup. Jadi pastikan jenama yang diguna pakai sekarang menepati kehendak undang-undang cap dagangan bagi mengelakkan masalah berlaku kepada perniagaan.

Artikel asal dari Majalah Niaga

2 thoughts on “Tip Pendaftaran Jenama Sebagai Cap Dagangan

  1. saudah binti saad

    assalamualaikum encik azizi,
    saya telah daftar ‘TM’ untuk jualan saya, saya jual aneka sup dan nasi ayam di restoran.
    daftar syarikat: sup meletup asli
    TM: sup meletup (logo saya nama dan gambar mangkuk)
    saya dapat quiry drp IPO, bagai mana saya hendak selesaikannya. saya telah menjual produk tersebut lebih dari 14 tahun. nama tersebut telah dikenali.

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *