Formula 1 dan Penjenamaan

By | March 15, 2010

mercedesGP

Semalam telah bermulanya musim Formula 1 untuk sesi 2010. Kemenangan telah berpihak kepada pasukan Ferrari dengan kedudukan 1-2. Manakala tempat ketiga dimenangi pasukan Mc Laren Mercedes. Michale Schumacher yang membuat kemunculan kembali bersama pasukan Mercedes GP Petronas hanya mampu berada di tempat ke 6.

Sukan Formula 1 terkenal dengan sukan berkos tinggi kerana memerlukan penggunaan teknologi yang canggih bagi merekabentuk dan menggerakkan kereta Formula 1. Sudah pasti dana yang besar diperlukan bagi menampung kos operasi perlumbaan kereta Formula 1 ini. Kos operasi bukan sekadar kos kereta Formula 1 sahaja, ini termasuk kos-kos pengurusan lain seperti bayaran gaji pekerja, lojistik, premis dan sebagainya. Kos bagi satu pasukan Formula 1 untuk beroperasi adalah sekitar RM240,000,000 setahun!

Jadi, dari mana untuk mendapatkan dana sebanyak itu? Adakah dana dalaman sesuatu pasukan mampu untuk menampung kos operasi keseluruhan pasukan?

Di sini, penajaan menjadi sumber utama kewangan bagi menampung perbelanjaan pasukan. Lagi banyak penajaan diterima, lagi besar sumber kewangan yang diperoleh. Sebagai contoh, syarikat petroleum negara Petronas telah membuat penajaan lebih dari 10 tahun di dalam Formula 1. Sebelum ini, Petronas telah menaja pasukan Sauber-Petronas, BMW-Sauber dan untuk musim 2010 pasukan Mercedes GP-Petronas. Jumlah penajaan tidak dapat dipastikan tetapi memandangkan nama Petronas telah digunakan sebagai sebahagian nama pasukan, sudah tentu jumlah yang ditaja adalah besar.

Persoalan sekarang, apa yang diperoleh Petronas hasil dari penajaan tersebut?

Pemindahan teknologi mungkin menjadi salah satu manfaat yang diperoleh hasil dari penajaan. Petronas sejak dari era pasukan Sauber-Petronas telah menghantar rakyat tempatan untuk mempelajari teknologi berkenaan kejuruteraan automatif Formula 1. Di sini, manfaat dari segi pengetahuan dan teknologi akan diperoleh.

Selain itu, manfaat yang paling besar sekali yang diperoleh Petronas adalah dari aspek penjenamaan. Sebelum penyertaan Petronas di dalam dunia Formula 1, nama Petronas mungkin tidak begitu dikenali di luar Malaysia. Namun, selepas lebih 10 tahun penglibatan Petronas dalam Formula 1, nama Petronas telah menjadi antara jenama pengeluar petroleum utama dunia sehinggakan syarikat Petronas telah disenaraikan di dalam Fortune 500, senarai syarikat terkemuka dunia.

mercedesGP2

Penjenamaan di dalam dunia Formula 1 diperoleh dari kemunculan logo pada kereta Formula 1. Petronas sebagai contoh telah meletakkan logonya pada kereta Formula 1 Mercedes GP dan ini dapat dilihat oleh masyarakat seluruh dunia hasil dari siaran langsung televisyen. Selain kereta, pakaian pemandu, krew pit serta apa-apa program yang berkaitan pasukan Mercedes GP Petronas akan disertakan dengan logo Petronas. Melalui penonjolan logo Petronas pada setiap aspek pasukan, ia akan mencipta prestij kepada jenama Petronas sebagai syarikat minyak yang dikaitkan dengan dunia Formula 1. Perbelanjaan penajaan mungkin besar tetapi Petronas mendapat manfaat dari segi penjenamaan untuk jangka masa panjang.

Jadi, kita boleh melihat pada kereta Formula 1 akan terdapat pelbagai logo dan jenama dari berbagai syarikat. Tujuannya tidak lain dan tidak bukan, penjenamaan. Begitulah kuasa penjenamaan di dalam meningkatkan prestij dan kedudukan sesuatu syarkat.

Komen adalah dialu-alukan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *