Dalam entri yang lepas, saya telah menerangkan secara ringkas berkenaan cap dagangan serta fungsinya. Antara fungsi yang telah saya terangkan adalah fungsi kualiti dan fungsi ekonomi.
Cap dagangan adalah sebagian daripada jenama. Cap dagangan secara amnya merujuk kepada sesuatu tanda yang menjadi simbol sesuatu baraangan atau perkhidmatan manakala jenama pula mewakili keseluruhan representasi produk atau perkhidmatan dari segi kualiti, nilai, reka bentuk, konsep warna dan sebagainya.
Secara amnya, jenama mewakili kualiti sesuatu barangan atau perkhidmatan. Saya mengambil jenama KFC sebagai contoh. KFC menawarkan produk berasaskan makanan dan juga perkhidmatan restoran di bawah jenama KFC. KFC terkenal dengan kualiti produk ayamnya dan juga rangkaian restorannya yang luas.
Menu KFC, sumber www.kfc.com.my
Gambar di atas menunjukkan menu utama di KFC. Jika kita bandingkan harga ayam goreng KFC dengan harga ayam goreng yang di jual di restoran biasa, pasti harganya berbeza. Dan yang pastinya harga ayam goreng yang dijual di restoran KFC adalah lebih mahal berbanding yang dijual di restoran biasanya. Malah pada tahun 2000, harga pakej ‘dinner plate KFC’ adalah sekitar RM6, tetapi telah dinaikkan kepada RM7 tanpa sebarang notis oleh KFC. Tetapi kenapa tiada pelanggan yang memprotes kenaikan ini? Jika restoran mamak menaikkan harga sekeping roti canai, pasti akan gempar seantero negara.
Jawapan kepada persoalan di atas adalah jenama. KFC bukan setakat menawarkan produk ayam goreng, malah lebih daripada itu. KFC menawarkan pengalaman menikmati ayam goreng yang berbeza dengan ayam goreng yang biasa. Ayam goreng KFC digoreng dengan ramuan yang menjadi rahsia kekal KFC. Resepi ramuan rahsia ini boleh dikategorikan sebagai rahsia perdagangan (trade secret) di dalam harta intelek. Walau harga ayam goreng KFC lebih mahal daripada ayam goreng biasa, pelanggan akan tetap berkunjung ke restoran KFC kerana ‘pengalaman’ yang ditawarkan KFC.
Selain daripada produk, jenama KFC juga merangkumi keseluruhan konsep perniagaan KFC termasuklah reka bentuk dan tata hias restoran, pakaian pekerja, kotak dan bungkusan, cara pelayan restoran melayan pelanggan; ke semua ini mewakili jenama KFC. Apabila kita teringatkan KFC, kita akan terbayangkan ke semua yang telah saya sebutkan tadi.
Satu contoh jenama yang kuat mengatasi soal harga adalah Starbuck Coffee. Starbuck Coffee menawarkan perkhidmatan restoran dan produk berasaskan kopi. Jika kita amati harga secawan kopi di Starbuck boleh mencecah RM15! Secara logik akalnya satu harga yang tidak munasabah bagi secawan kopi yang harganya tidak sampai RM2 di restoran mamak. Tetapi kenapa masih ramai yang setia mengunjungi restoran Starbuck? Jawapannya adalah kerana jenamanya.
Begitulah kekuatan jenama. Jenama cukup mempengaruhi daya pembelian seseorang. Majoriti pengguna di dunia membeli sesuatu barangan kerana jenama. Dari produk pakaian sehinggalah produk elektrik. Jenama yang menawarkan produk yang berkualiti dan khidmat selepas jualan yang baik pasti akan mendapat perhatian pelanggan.