Sebelum ini saya telah menerangkan secara umum mengenai apakah itu harta intelek. Untuk entri kali ini, saya akan menerangkan mengenai salah satu cabang harta intelek iaitu cap dagangan atau ‘trade mark’ di dalam bahasa inggeris.
Cap dagangan merujuk kepada satu tanda yang dapat membezakan antara barangan atau perkhidmatan yang ditawarkan oleh pemiliknya dengan barangan atau perkhidmatan yang ditawarkan pemilik lain. Sebagai contoh, pemilik barangan kopi A menggunakan jenama SATU bagi membezakan barangan kopinya dengan pemilik barangan kopi B, yang mana pemilik B menggunakan jenama DUA bagi kopinya. Maka di sini pelanggan akan dapat membezakan di antara kopi A dan kopi B menerusi jenama SATU dan DUA.
Cap dagangan merangkumi perkataan, huruf, nombor, nama, tandatangan, logo dan kombinasi antaranya. Simbol-simbol yang dikaitkan dengan cap dagangan ialah (R) bagi menunjukkan cap dagangan tersebut telah didaftarkan manakala TM bagi menunjukkan cap dagangan tersebut sedang digunakan atau menanti proses pendaftaran.
Berikut adalah contoh-contoh cap dagangan:
Di atas adalah contoh-contoh cap dagangan yang popular di Malaysia. Cap dagangan boleh didatangkan di dalam pelbagai bentuk, malah karakter kartun seperti Mickey Mouse, Donald Duck dan Upin & Ipin juga boleh termasuk di dalam kategori cap dagangan.
Antara fungsi cap dagangan:
-
Fungsi Identiti / Origin – Cap dagangan membolehkan pengguna mengenal pasti sumber atau pengeluar sesuatu produk atau perkhidmatan.
-
Fungsi untuk membuat pilihan – Cap dagangan membolehkan pengguna memilih barangan atau perkhidmatan dengan mudah.
-
Fungsi kualiti – Pelanggan memilih sesuatu cap dagangan berdasarkan reputasi dan kualiti barangan dan perkhidmatan di bawah cap dagangan tersebut.
-
Fungsi pemasaran – Cap dagangan amat penting di dalam sesuatu pengiklanan. Pelanggan lebih mudah dipengaruhi menerusi pengiklanan sesuatu barangan.
-
Fungsi ekonomi – Sesuatu cap dagangan yang mempunyai reputasi tinggi akan meningkatkan nilai cap dagangan tersebut di mata pelanggan. Dengan nilai yang tinggi, pemilik cap dagangan tersebut mempunyai pilihan untuk melesankan atau memindahkan hak milik cap dagangan tersebut dengan ganjaran yang tinggi.
Untuk membolehkan pemilik cap dagangan memonopoli penggunaan cap dagangan tersebut di pasaran, cap dagangan tersebut haruslah didaftarkan terlebih dahulu. Namun begitu, terdapat ciri-ciri cap dagangan yang boleh dan tidak boleh didaftarkan.
Untuk entri yang akan datang, saya akan menerangkan berkenaan pendaftaran cap dagangan dan ciri-ciri cap dagangan yang boleh dan tidak boleh didaftarkan.
Sekian untuk kali ini.