PETIKAN BERITA: Tempat Awam Yang Siar Program TV Tidak Perlu Bayar Royalti

By | January 14, 2011

KUALA LUMPUR, 13 Jan (Bernama) — Kerajaan telah memutuskan bahawa semua tempat awam seperti hotel, klinik, hospital dan restoran yang menyiarkan program televisyen di premis mereka tidak perlu lagi membayar royalti ke atas penyiaran karya hak cipta yang disiarkan oleh stesen televisyen.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Tan Lian Hoe berkata ini berikutan syarikat penyiaran, sama ada radio dan televisyen telah membayar royalti kepada Badan Kutipan Royalti (CMO).

“Program televisyen yang ditayangkan adalah disusun oleh pihak syarikat penyiaran tersebut. Oleh itu adalah tidak wajar premis-premis perniagaan ini dikenakan bayaran royalti,” katanya pada sidang akhbar di sini pada Khamis.

Beliau berkata kadar tarif royalti ditetapkan oleh badan-badan pelesenan seperti Public Performance Malaysia Sdn Bhd dan Music Authors Copyright Protection Berhad (MACP).

Namun Tan berkata sekiranya premis-premis berkenaan menayangkan karya hak cipta seperti cakera padat dan cakera video digital atau menyediakan perkhidmatan karaoke, mereka perlu membayar royalti berkenaan.

Beliau berkata sekiranya pihak-pihak yang terlibat tidak berpuas hati dengan peraturan royalti tersebut, mereka boleh merujuk kepada mahkamah untuk mendapatkan interpretasi undang-undang.

Mengenai penguatkuasaan Akta Hak Cipta 1987 (Pindaan 2010) yang rang undang-undangnya telah dibentangkan untuk bacaan kali pertama pada Dewan Rakyat Disember lepas, beliau berkata ia akan memberi perlindungan lebih menyeluruh terhadap karya seni tanah air.

“Akta ini akan dibahaskan bermula sesi Dewan Rakyat akan datang dan apabila diluluskan ia akan memperluaskan kuasa tribunal kepada pengguna dan pemilik karya untuk membawa sebarang masalah mengenai isu royalti kepada tribunal hak cipta,” katanya.

Menurut Tan, pindaan akta tersebut juga akan memberikan kuasa kepada kementerian untuk memantau dari semasa ke semasa aspek kutipan royalti, pengagihan dan menyelesaikan sebarang pertelingkahan mengenai penggunaan karya hak cipta.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *